Pages

Saturday, August 13, 2011

maklumat baru

Jam menunjukkan hampir pukul 9.30 pagi. Ain kelihatan bersiap sedia dengan memasukkan telefon yang terletak di atas meja ke dalam beg tangan. Fail berkenaan dikepitnya lalu dia berjalan keluar dari biliknya. Dia berjalan menuju ke arah tangga sambil memandang ke arah Nani, kerani yang sedang sibuk dengan tugasnya menyusun dan mendaftarkan fail-fail syarikat mengikut kategorinya. “Nani, saya pergi dulu ya,” katanya sambil menyelinap menuruni tangga. Nani memandangnya dengan senyuman, sambil mengangkat ibu jari.

Ain terus menuju ke arah sebuah Proton Perdana hitam, iaitu kereta kepunyaan pejabatnya. Dia menekan punat kunci dan kemudian masuk ke kereta. “Emm, nampaknya kereta rasmi pejabat Puan Rozmiza ni sudah menjadi seolah-olah keretaku” detik hatinya. Baik betul hati Puan Rozmiza, sudahlah dia beri aku kerja di pejabatnya, kereta syarikat pun dia beri aku guna.” “Kenapa ya?” “Entah-entah dia berminat untuk menjadikan aku sebagai menantunya,” “Hissh, jangan beranganlah, masakan jejaka kacak, tinggi lampai itu mahu memilih aku menjadi calon isterinya.” “Memandang sebelah matapun dia tak sudi,” hatinya terus berkata-kata.” Ain masih teringat, tiga minggu yang lalu dia telah dijemput oleh Puan Rozmiza untuk makan malam di rumahnya. Ketika itu Puan Rozmiza telah memperkenalkan Hafiz Affendi anak lelaki tunggalnya. Hafiz Affendi, doktor muda yang baru sahaja pulang dari Ireland dan berkhidmat di Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya itu pulang ke Langkawi beberapa hari untuk menziarahi ibunya. “Ain, ini anak saya, Hafiz Affendi,” kata Puan Rozmiza. “Hafiz, mama kenalkan, ini Ain Aziana peguam baru di pejabat mama,” kata Puan Rozmiza dengan wajah penuh gembira. Hafiz memandangnya sambil menganggukkan kepala. Ain memandangnya, mengganggukkan kepala dan tersenyum penuh ikhlas. Namun, senyumannya tidak dibalas dengan senyuman oleh Hafiz. Sebaliknya Hafiz menjelingnya dengan air muka yang menunjukkan keangkuhan. “Ibu dan bapa Ain ni dulu kawan mama masa sama-sama belajar di Universiti Malaya dua puluh lima tahun yang lalu.” “Arwah papa dulu rapat sangat dengan ayah Ain ni.” Kata Puan Rozmiza kepada anaknya. “Ibu bapa Ain ni tinggal di Shah Alam, tak jauh dari Petaling Jaya.” “Nanti bila ada kesempatan Hafiz pergilah menziarahi mereka.” “Ataupun, bila-bila mama ada urusan di Kuala Lumpur nanti, kita pergi ke rumah mereka sama-sama, mahu?” Hafiz hanya menggangguk tanpa mengeluarkan sepatah katapun. Seolah-olah tiap butir perkataan yang diujarkan oleh ibunya itu langsung tidak masuk ke dalam mindanya.

Malam itu hanya Puan Rozmiza sahaja yang banyak berbicara dan berceloteh. Hafiz hanya bercakap sepatah dua. Itupun seolah-olah terpaksa apabila perlu menjawab soalan-soalan daripada Puan Rozmiza. Daripada pandangan Ain, Hafiz seorang jejaka kacak tetapi agak sombong. “Siapalah aku untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengannya.” Fikir Ain. “Aku cuma seorang peguam dan mendapat pendidikan dalam negara. Sedangkan Hafiz seorang doktor yang mendapat didikan di luar negara dan telah berada di sana enam tahun.” Dari cara Puan Rozmiza, jelas dia seolah-olah mahu Hafiz anaknya itu memulakan hubungan dengan Ain. “Hafiz, kau jangan berlagaklah! Pinggan tak retak nasi tak dingin,” “Kau tak hendak, akupun tak ingin!” fikir Ain.

Selepas makan malam, Puan Rozmiza membuka album dan menunjukkan gambar-gambar lama. “Tengok ni Ain, ini gambar papa Ain dengan arwah suami Auntie.” “Mereka ini dikenali sebagai kembar nama, sebab nama mereka sama.” Tambah Puan Rozmiza. “Oh, nama suami Auntie sama dengan nama papa Ain ya.” “Hafiz yang duduk di sebuah sofa berhadapan mereka kelihatan resah. Kadang-kadang dia memandang ke luar. Tiba-tiba dia bersuara, “Mama, Hafiz nak keluar sekejap ya.” “Nak jumpa kawan sekejap.” Tambahnya sambil bangun dan berjalan ke pintu. Puan Rozmiza hanya memandang dengan wajah berkerut, menjawab, “Pergilah.. jangan balik lewat sangat ya.”

Kesempatan tinggal berdua sambil melihat gambar lama membolehkan Ain bertanya tentang sejauh mana rapatnya hubungan arwah suami Puan Rozmiza dengan papanya. “Nama mereka sama, Muhammad Hisham,” kata Puan Rozmiza. “Mereka sangat rapat dan mengambil kursus yang sama masa di UM,” Puan Rozmiza mula bercerita. “Papa Ain dengan arwah suami Auntie pernah membuka perniagaan bersama,” “Tapi sekejap sahaja, lebih kurang dua tahun.” Tambahnya.” “Selepas itu, papa buat apa?” tanya Ain. “Oh, papa Ain sambung belajar buat master dan dua tahun kemudian dia bekerja menjadi pensyarah di UM.” Katanya lagi. “Papa Ain lah yang menyelamatkan syarikat arwah suami Auntie semasa hampir bangkrap” bersungguh Puan Rozmiza bercerita. “Ain tau, Hafiz lahir pada hari yang sama ayahnya meninggal dunia..” perlahan suara Puan Rozmiza. “Oh, jadi Hafiz tidak pernah berjumpa ayahnya?” tanya Ain dengan wajah sedikit simpati. “Ya, Auntie pun sebenarnya hanya dua bulan sahaja yang betul-betul tinggal sebumbung dengan ayah Hafiz.” “Selepas itu kami cuma berjumpa dua atau tiga minggu sekali.” “Ayah Hafiz bekerja di Kuala Lumpur, Auntie pula bekerja di sini,” sambung Puan Rozmiza. “Dua tahun selepas berkahwin, Auntie bersalinkan Hafiz, dan pada hari itulah juga ayah Hafiz meninggal akibat kemalangan jalan raya.” cerita Puan Rozmiza lagi dengan wajah sedikit sedih. “Masa itu, dia tergesa-gesa memandu kerana mendengar berita Auntie sudah masuk wad untuk bersalin” “Selepas suami Auntie meninggal, Auntie langsung tidak pernah pergi ke KL.” “Papa Ain tolong uruskan penjualan syarikat suami Auntie dan duit itulah yang Auntie gunakan untuk membuka syarikat guaman tempat Ain bekerja sekarang.” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment