Pages

Saturday, August 13, 2011

gerun

Entah mengapa Ain berasa gerun untuk mewakili Puan Rozmiza dalam mesyuarat hari ini. “Dia mula memandu perlahan-lahan menuju ke jalan besar. Pekan Kuah pada waktu-waktu begini agak kurang kenderaan. Maklumlah yang biasanya menjadikan pekan Kuah ini sesak ialah pelancong yang datang pada musim cuti sekolah atau hujung minggu. Hari ini hari bekerja dan waktu pukul 9.30 ini bukanlah waktu kemuncak. Indah Holding terletak hanya kira-kira 10 km dari pejabatnya. Sebenarnya bukannya jauh sangat, dalam masa kurang 15 minit Ain boleh sampai ke bangunan pejabat Indah Holding. Tetapi, pagi ini dia rasa ingin sampai cepat supaya boleh bersedia. Sebenarnya inilah pertama kali sejak dia ditauliahkan menjadi peguam, dia akan menguruskan hartanah yang nilainya jutaan ringgit. Sebelum ini dia hanya diberi tanggungjawab menguruskan urusan perrjanjian jual beli rumah antara klien dan pihak bank. Kebanyakan bank-bank yang berada di pekan Kuah ini telah dikenali pengurusnya memandangkan itulah tugas yang sering diserahkan kepadanya oleh Puan Rozmiza. Tetapi, tugas hari ini dirasakan agak mencabar. Dia kena menunjukkan dirinya sehebat dan segagah Puan Rozmiza pada pihak pengurusan Indah Holding berhubung pengetahuan tentang urusan hartanah. “Mampukah aku?” detik hati kecilnya. Kereta Proton Perdana hitam milik syarikat guaman Rozmiza & Co. dipandu perlahan masuk ke kawasan parkir Indah Holding. Dia memberhentikan kereta di petak parkir sebelah pohon bunga Tanjung yang rendang supaya keretanya dilindungi matahari yang mula memancar. Di hadapannya terbentang lautan yang menghadap Kuala Perlis. Dari jauh kelihatan perahu nelayan, feri dan kapal-kapal layar di permukaan laut. Ada yang kelihatan sedang bergerak dengan malas dan ada pula yang seolah-olah terpaku di permukaan laut tersebut. Dia mematikan injin kereta. Jam baru menunjukkan 9.45 pagi. “Aku ada masa 10 minit untuk duduk di sini sebelum melangkah masuk ke dalam bangunan,” fikirnya sambil membetulkan kerusi. Tiba-tiba Ain teringat pada mama, papa dan adik-adik yang berada di Shah Alam. Apa khabar mereka ya, fikirnya. Sudah dua bulan, iaitu sejak hari pentauliahan tersebut dia meninggalkan Shah Alam. Tinggal bersama keluarga di Shah Alam memang seronok, tetapi di sini dia sentiasa keseorangan. Tiada kehidupan malam di sini. Selepas pukul 8.00 malam pekan Langkawi sudah sunyi sepi, kecualilah pada waktu hujung minggu dan cuti sekolah. Tetapi, ini adalah jalan yang dia sendiri pilih. Dia masih teringat, dia sendiri yang memohon untuk chambering di Rozmiza &Co dua tahun dulu dan seterusnya menerima tawaran Puan Rozmiza untuk bekerja dengannya. Ingin merasa tinggal di sebuah bandar kecil yang kurang sibuk berbanding Shah Alam dan Kuala Lumpur. Mama dan papa memang amat bersetuju dengan cadangannya memandangkan Puan Rozmiza peguam terkenal di Langkawi ini adalah rakan mama semasa belajar di Universiti Malaya dua puluh lima tahun yang lalu. Papa pula begitu berminat dengan pulau ini sehingga membeli sebuah Studio Apartmen untuk tempat tinggal ketika bercuti di Langkawi. Entahlah, kenapalah papa suka sangat dengan pulau ini sehingga sanggup datang setiap tahun bercuti di sini! Namun jauh di lubuk hatinya, Ain berasa amat bersyukur. Studio Apartmen yang dibeli oleh bapanya itulah menjadi tempat tinggalnya sekarang. Dia gembira tinggal di situ.

No comments:

Post a Comment