“Praanggg!” tiba-tiba lamunannya terhenti. Ain serta-merta memandang keluar mencari dari mana arah datangnya bunyi seolah-olah sesuatu terlanggar. Dia ternampak sebuah motosikal yang agak besar tercampak hampir masuk ke longkang besar di tepi jalan raya berhampiran simpang masuk ke Indah Holding. Dari jauh kelihatan orang ramai mengerumi penunggang motosikal yang terbaring di bahu jalan. Ain hanya meninjau dari dalam kereta. “Adalah orang yang akan membantu tu, aku ni takut darah lebih baik jangan campur.” Hatinya berkata-kata. Lima minit kemudian kelihatan beberapa orang staf dari bangunan Indah Holding berlarian menuju ke kawasan kemalangan. Beberapa minit selepas itu kelihatan sebuah ambulans datang. Cepat betul ambulans sampai! Inilah baiknya tinggal di kawasan yang kurang sibuk. Penunggang motosikal dimasukkan ke dalam ambulans dan imbulans tersebut bergerak laju meninggalkan sekumpulan orang yang masih mengerumi motosikal yang masih terbaring di tebing longkang. Polis kemudian datang dan orang ramai mula bersurai. Motosikal tersebut telah diangkat oleh beberapa orang dan kemudiannya disorong masuk ke kawasan Indah Holding. “Oh, mungkin yang mendapat kemalangan tadi staf Indah Holding.” Fikir Ain sambil mengangkat beg dan fail-fail . Dia mengunci kereta lalu berjalan ke arah laluan utama Indah Holding.
Ain sampai di ruang legar depan bilik Mesyuarat Utama Indah Holding. Dia berdiri sambil menunggu dijemput masuk. Tidak berapa jauh daripada tempat dia berdiri, beberapa orang staf Indah Holding sedang berbual dan seolah-olah membincangkan sesuatu yang amat serius. Ain mula memasang telinga untuk mengetahui perkara yang dibincangkan mereka. “Teruk ke budak lelaki tu?” “Kesian ya, baru dua minggu kerja dengan kita sudah kena kemalangan pula.” Lelaki yang berdiri di sebelahnya menjawab, “Aku rasa tak teruk sangat, tapi mukanya calar balarlah kena tembok.” “Kesian dia, nampaknya tak hemsemlah lagi dia selepas ni..” sampuk seorang wanita separuh baya. “Eh, engkau ni, ada hati ke?”. “Laki kau yang botak tu nak campak ke mana?” Balas lelaki tersebut sambil menyeringai memandang wanita separuh baya. Wanita separuh baya itu kemudian masuk ke pejabatnya di sebelah Bilik Mesyuarat Utama tersebut. Ain terus berdiri sambil memerhati Carta Organisasi Indah Holding yang tergantung pada dinding Bilik Mesyuarat Utama. Kelihatan gambar Datuk Fazlan Yahya Pengerusi Lembaga Pengarah Indah Holding pada carta paling atas. Di bawahnya pula terdapat empat gambar lagi, iaitu gambar pengarah-pengarah Indah Holding. Sedang dia memerhatikan gambar-gambar tersebut, namanya tiba-tiba dipanggil. “Assalamualaikum, cik ni Ain Aziana dari Rozmiza & Co ya?” Ain Aziana menoleh ke arah suara tersebut. Dia tersenyum, lalu memandang wanita separuh baya tersebut dan menghulurkan tangan. Perempuan separuh baya itu menyambut tangannya sambil tersebut. “Saya Hasni, setiausaha datuk Fazlan”, terangnya. “Mari masuk ke Bilik Mesyuarat Utama,” jemput Puan Hasni. Wakil dari jurutera perunding, kontraktor, bank pembiaya rasanya semua sudah menunggu di dalam.” “Maaf ya, saya tadi kelam kabut, tak perasan Cik Ain Aziana sampai,” tambahnya. Ain hanya tersenyum mendengar celoteh wanita itu sambil mengekorinya masuk ke bilik Mesyuarat Utama. “Kenalkan, ini Cik Ain Aziana yang mewakili Rozmiza & Co.” “Rozmiza & Co adalah syarikat guaman yang dilantik untuk menguruskan urusan perundangan hartanah Indah Holding,” kata Puan Hasni kepada semua ahli mesyuarat yang sudah sedia menunggu dalam bilik tersebut. “Oh, maknanya memang Puan Rozmiza sudah dapat projek ini” detik hati Ain. “Patutlah dia boleh wakilkan aku..” fikirnya. Terasa kurang sikit rasa takut dihati Ain. Semua yang ada di dalam bilik tersebut memandangnya sambil tersenyum. Ain membalas senyuman mereka, lalu menarik sebuah kerusi untuk duduk. “Puan Hasni, pukul berapa mesyuarat kita ni nak mula?” tanya wakil dari bank pembiaya projek. “Nanti saya tengok Datuk Fazlan, tadi dia dalam perjalanan ke sini.” “Sebaik datuk Fazlan masuk mesyuarat akan dimulakan.” Tambah Puan Hasni sambil berjalan ke luar. Lima minit kemudian Puan Hasni masuk semula ke bilik mesyuarat.”Tuan-tuan dan puan-puan, Datuk baru sahaja menghubungi saya.” “Dia minta maaf, mesyuarat dibatalkan sebab anak saudara Datuk Fazlan, jurutera yang baru sahaja menyertai Indah Holding, iaitu Faiz Sofwan Ibrahim kemalangan jalan raya pagi ini.” “Bagi pihak Indah Holding, saya mohon maaf.” “ Saya akan menghubungi tuan puan sebaik sahaja Datuk menetapkan tarikh mesyuarat baru” Jelas Puan Hasni. “Sebelum tuan-tuan dan puan-puan beredar, dijemput untuk minum dulu sebab jamuan ringan telah disediakan,” katanya sambil mengarahkan ibu jarinya ke satu sudut dalam bilik tersebut. “Puan Hasni, teruk ke budak Faiz tu?” tanya Encik Bakar wakil dari syarikat kontraktor. “Saya baru sahaja kenal dia minggu lepas.” “Baik budak tu, senang nak berurusan.” Tambah Encik Bakar. “Saya pun tak tahulah,” Balas Puan Hasni. “Wakil dari Indah Holding yang pergi menziarahnya di hospital belum pulang lagi.” Tambah Puan Hasni. Ain yang sudah mengambil secawan teh duduk di kerusinya semula. Tiba-tiba dia bertanya, “Puan Hasni, anak saudara Datuk ni kemalangan dekat simpang masuk ke bangunan ini pagi ini ya?” “Ya, Cik Ain pun nampak ya?” tanya Puan Hasni. Ain memandang Puan Hasni sambil mengangguk.” “Encik Faiz pun sepatutnya menghadiri mesyuarat kita pagi ni, tetapi baru sampai ke depan bangunan ni kemalangan pula.” Jelas Puan Hasni sambil mengunjuk cawan yang berisi air kepada dua orang ahli mesyuarat lagi. “Faiz Sofwan Ibrahim..hmm macam pernah dengar nama itu.” “Tapi di mana ya?” Detik hati Ain. Selepas minum, Ain minta diri dan terus pulang ke pejabatnya.
No comments:
Post a Comment